SeeHeart4Life OnLine Shoppe (Sila klik icon untuk mula shopping di sini)

4Life Research LLC - Digital NewsStand

Thursday, May 10, 2012

Tak usah ambil pembantu rumah kalau tak mampu - Indonesia


Apabila kerajaan Indonesia mengumumkan bahawa pembantu rumah dari republik itu hanya akan menjalankan satu tugas dengan gaji minimum RM700 sebulan, ia mencetuskan kontroversi. Kerajaan Malaysia pula menegaskan, apa yang diumumkan oleh Indonesia minggu lalu itu bercanggah dengan memorandum persefahaman yang dimeterai tahun lalu. Dalam temu bual dengan Sinar Harian Online di pejabarnya kelmarin, Menteri Penasihat Kedutaan Indonesia, Suryana Sastradiredja mengupas isu ini kepada wartawan RUZY ADILA IDRIS.

Meskipun MoU sudah dimeterai dan pertemuan susulan Pasukan Petugas Bersama, nampaknya masih wujud kekeliruan kadar tuntutan gaji pembantu rumah dari Indonesia?

Saya turut ditanya soalan sama oleh media lain mengenai perkara itu. Nampaknya berlaku kekurangan kolaborasi dan penyampaian maklumat daripada pegawai Malaysia kepada kerajaan dan juga kepada Perdana Menteri kerana ahli Pasukan Petugas Bersama bercakap kepada media selepas saya membuat kenyataan.

Dalam kandungan perjanjian nampaknya menekankan satu pembantu rumah satu tugas. Boleh jelaskan?

SURYANA: Sebetulnya begitu. Pada awalnya, kadar gaji ditetapkan antara RM600 hingga RM800 (sebulan) untuk satu pengkhususan kerja, tetapi daripada angka itu kita dapat RM700 dan pembantu rumah Indonesia perlu melalui latihan 200 jam. Latihan merangkumi empat jenis iaitu pembantu rumah, pengasuh, penjaga orang tua dan memasak di mana majikan Malaysia hanya boleh pilih satu bidang tugas. Masalahnya, saya tidak pasti di mana kekurangan maklumat dan mungkin Pasukan Petugas Bersama (di pihak) Malaysia tidak memaklumkan kepada menteri atau perdana menteri.

Oleh sebab itu, saya redakan berita itu. Okeylah, anda boleh minta pembantu rumah kerja lebih, boleh minta pembantu rumah buat dua atau tiga kerja lain, tetapi harus sepakat dulu. Jika majikan perlukan pembantu rumah membuat tugas tambahan, mereka perlu membuat perjanjian dan bersetuju bayaran tambahan yang dipersetujui bersama (oleh majikan dan pembantu rumah). Misalnya, jika pembantu rumah diambil untuk membuat kerja rumah dan majikan perlu bantuannya untuk menjaga anak, ini kerja tambahan, jadi bagilah dia bayaran tambahan. Jika majikan cakap pembantu rumah buat anak cedera, perjanjian menyatakan pembantu rumah hanya membuat kerja rumah dan majikan perlu bertanggungjawab sendiri, kalau terjadi apa-apa, majikan tidak boleh saman.

Jika begitu, berapa bayaran tambahan?

SURYANA: Bergantung perjanjian antara majikan dan pembantu rumah. Patut satu bidang satu gaji, jadi buatlah perjanjian dengan pembantu rumah berapa tambahannya.

Apakah perbezaan perjanjian dahulu dan sekarang?

SURYANA: Mungkin orang Malaysia tidak faham makna hak asasi manusia. Sebetulnya saya jamin itu. Definisi pembantu rumah ialah pekerja rumah. Perjanjiannya pun itu domestic helper, yang tugasnya memang di rumah untuk membersihkan rumah, menyapu, bersihkan kaca dan sebagainya. Sementara urusan anak atau orang tua itu ialah nyawa. Boleh anda bayangkan seorang pembantu rumah perlu menjaga anak, perlu menjadi jururawat. Itu melibatkan nyawa. Kalau sudah kerja melibatkan nyawa itu bukan kerja pembantu rumah. Bagaimana kalau salah? Salah beri suntikan atau ubat untuk orang tua, nanti majikan akan salahkan pembantu. Padahal dalam Konvensyen ILO jelas menyatakan tugas pembantu rumah hanya kerja membantu. Itu harus difahami. Masalahnya selama ini, orang Malaysia selalu berfikir ke belakang, selalu melihat ke belakang di mana pembantu itu sebagai superwoman, supermaid yang perlu kerja sampai cuci kereta, mandikan dan beri anjing makan. Itu bukan kerjanya.

Orang Malaysia selalu berpendapat mereka bayar murah, tapi beri kerja banyak kepada pembantu rumah. Kadang-kadang pembantu rumah dibawa ke rumah saudara-mara untuk buat kerja atau di sebelah siang disuruh masak di restoran manakala di sebelah malamnya disuruh tunggu kedai. Ini berlaku kerana tiada justifikasi mengenai tugas patut dijalankan sedangkan mereka sepatutnya bekerja di rumah.

Gaji RM700 sebulan dilihat terlalu tinggi? (Tetapi hakikatnya) bukan semua orang ada orang tua ada di rumah mereka.

SURYANA: Kita faham pembantu rumah itu apa. Dalam kontrak ada disenaraikan tugas dan tanggungjawab majikan, tenaga kerja. Ini kontrak perlu ditandatangani majikan, pembantu rumah dan agensi. Hanya boleh bekerja untuk majikan dan dilarang mencari pekerjaan lain atau disuruh kerja di tempat lain. Harus patuhi arahan daripada majikan dalam mengerjakan pekerjaan rumah sehari-hari meliputi – memasak, mengemas rumah, membasuh pakaian dan menggosok pakaian. Ini perjanjian kerja untuk ditandatangani. Ini sangat jelas. Sekarang, saya juga punya dua pembantu rumah dan seorang pemandu. Di sini saya ada dua pembantu rumah dan dua pemandu. Tetapi saya tak pernah minta pembantu rumah cuci kereta, saya tak pernah minta mereka berkebun sebab itu bukan tugas dia. Satu pembantu rumah untuk menguruskan rumah tangga manakala seorang lagi untuk menguruskan anak-anak. Kenapa? Sebab saya mampu bayar. Sementara itu, saudara saya, tiada pembantu rumah, tiada kereta, dia kata saya bukan awak, saya tidak kaya, saya tidak ada wang, saya tidak ada kereta, jadi saya tidak boleh bayar. Jadi kenapa saya harus paksa. Kalau saya tak mampu bayar, sudahlah.

Sama juga di Malaysia, kalau tidak mampu sudahlah, kenapa harus ribut? Saya sedih… kan saya sudah cakap, menteri pun kata nak cari alternatif cari sumber dari negara lain, carilah, jangan bising-bising. Contohnya, kalau kita mahu membeli barang di Pavilion tapi harganya (kadar) Chow Kit, mustahil. Kalau sebagai perbandingan maaf cakap, kalau mereka ada kemahiran 200 jam, saya berani sumpah mereka tidak datang ke sini. Mereka pilih Hong Kong, Korea, gaji lebih tinggi.

Apa jaminan kerajaan Indonesia majikan Malaysia berbaloi membayar RM700?

SURYANA: Inikan ada dalam perjanjian, pekerja diberi latihan 200 jam mampu bekerja dan boleh dikategorikan pekerja gred A atau B. Kita juga harus dapat jaminan daripada kerajaan Malaysia supaya mereka dibayar sesuai. Kita kirim orang ada kemahiran dan ada sijil. Kita minta jaminan mereka diberi tugas sesuai bidang kemahiran mereka. Di Indonesia, ada lapan agensi pekerjaan menguruskan kemasukan pekerja manakala di Malaysia ada lima agensi. Agensi ini bekerjasama, mereka beri latihan dan agensi Malaysia uruskan penempatan.

Kita juga minta agensi dan kerajaan Malaysia beri biodata majikan seperti yang kerajaan Indonesia kirimkan biodata calon pembantu rumah kepada calon majikan di Malaysia. Biodata itu merangkumi latar belakang majikan, gaji majikan sekurang-kurangnya RM5,000 untuk satu isi rumah (dulu hanya RM3,000) dan termasuk status kesihatan majikan. Kita tidak mahu majikan yang mempunyai sakit mental menggaji pekerja kita. Sebenarnya begini, matlamat kita bekerja dengan Malaysia untuk membina hubungan baik. Kita saling membantu. Kerajaan Malaysia harus memastikan mereka tidak layak, jangan ambil pembantu rumah dan kerajaan Indonesia pula tidak bekalkan pekerja yang tidak mempunyai kemahiran yang akan menimbulkan masalah.

Apakah perbezaan kandungan perjanjian dahulu dan sekarang?


SURYANA: Dahulu, kadar gaji tidak ditetapkan, tetapi sekarang gaji ditetapkan RM700 . Tetapi RM600 boleh ditetapkan bagi negeri seperti Terengganu, Kelantan, Sabah di mana kos hidup lebih rendah. Selain itu, pasport boleh dipegang pembantu rumah, hak satu hari kelepasan am yang tidak ditetapkan harinya dan majikan perlu buka akaun bank untuk bayar gaji. Jika berlaku kes tidak bayar gaji, ada bukti. 


Friday, October 21, 2011

Ayah, ibu, dengarlah rayuan hati si kecil ini.

Di hujung satu sudut, seorang anak kecil yang comel merenung jauh. Di dalam hatinya seakan terasa mengecil, meremuk, pedih teramat sangat tanpa beliau fahami apa maksudnya. Di dahinya penuh dengan seribu kedutan tanda fikiran yang berkecamuk dengan sejuta persoalan yang mengelirukannya.


"....Ayah atau ibu, ibu atau ayah?....mana adik kena pilih ni? Tapi adik nak dua-dua sekali... Mungkin ayah dah tak sayang adik, mungkin ibu dah tak suka adik, apa salah adik? Kenapa adik kena pilih...adik sayang ibu, adik sayang ayah...". Kecelaruan anak kecil ini yang belum selayaknya membuat sebarang keputusan benar-benar membuat hati menjadi pilu, apatah lagi memilih antara dua kasih sayang yang tidak berbelah bagi. Sekecil ini tidak memahami apa yang terjadi. Jiwa manja ini hanya mahukan kasih sayang, di usia ini hanya mahukan gelak tawa dua insan tersayang. Peluk cium dan senyum manis keduanya sering terbayang oleh kedua-dua mata bulat anak comel ini.


Gambar hiasan
"Duhai ibu, wahai ayah...renungilah mata adik ini... Ayah dan ibu tak kesian kat adik ke?" Gelodak air yang bertakung pada matanya sudah tidak dapat dibendung lagi. Begitu pun, tiada siapa dapat merasakan betapa remuknya hati sekecil ini yang masih cuba dipendam dengan senyuman kecilnya. "Sudahlah ayah, sayangilah ibu. Sudahlah ibu, sayangilah ayah." Kata hatinya terlisan walau tak terucap dek mulut yang menahan kesedihan.


"Ma'afkanlah adik ayah, ma'afkanlah adik ibu, kalau adik yang bersalah dan menjadi puncanya" rayunya lagi jika mungkin ia menjadi penyebab sehingga dirinya merasa begitu terhukum.


"Ma'afkan ibu, wahai ayah ku sayang jika ibu yang tersilap. Ma'afkanlah ayah, wahai ibu ku sayang, jika ayah yang bersalah." Harapan seiras doa terus dipohon agar keduanya mendengar isi hati kecilnya.


Itulah rentetan kisah benar yang sering berlaku dalam sebuah rumahtangga akibat ayah dan ibu yang hanya mementingkan diri dan hati sendiri. Ayah yang pastinya dengan ego tersemat, ibu yang pastinya dengan emosi terlekat.


"Ya Allah, jadikanlah aku seorang suami yang bertanggungjawab pada isteri dan keluargaku serta bertimbangrasa dalam tingkah laku dan keputusanku, dan jadikanlah aku seorang ayah yang penyayang terhadap anak-anakku. Moga kau buka hati mereka menyambut kasih sayang ku ini. Lorongkanlah hidayahMu dalam memanduku di bumiMu ini". Rintih ayah dalam doanya tanda insaf dengan iltizam untuk bertaubat.


"Ya Robbi dalam menuju jannahMu, jadikanlah aku seorang isteri yang menta'ati suamiku demi RedhaMu, ya Allah. Jadikanlah aku seorang ibu yang sekukuh hati Ummu Khadijah, selembut hati Fatimah Az-Zahra, semanja dan secerdik Siti Aiesyah. Moga anak-anakku diberkatiMu sebagai anak-anak yang soleh dan soleheh dengan redha yang ku titipkan pada mereka." Begitulah pengharapan menggunung si ibu kepada Al-Khaliq dalam usaha mengecapi keluarga sakinah moga kekal hingga ke akhir hayat.

IKLAN

ealier posting

FB Box

Blog of people that I know

  • Konflik Korea Selatan dengan Korea Utara menjadi sebuah momok yang tidak berkesudahan hingga saat ini. Memiliki mata-mata di negara lawan merupakan hal y...
    4 years ago
  • Anak aku Atikah sebelum ini berniaga kain cotton Gred A secara online melalui syarikatnya yang diberi nama Sweet Little Cotton Enterprise atau singkatannya...
    11 years ago
  • Sedikit perkongsian saya yang Allah takdirkan pada 28 Mac 2012 ketika diberi kesempatan bersembang dgn seorang hamba Allah warga asing berbangsa Jerman ber...
    14 years ago

Blog of People I wish to know

Other blogs

Harun Yahya TV

Jadual Ceramah