Apabila kerajaan Indonesia mengumumkan bahawa
pembantu rumah dari republik itu hanya akan menjalankan satu tugas dengan gaji
minimum RM700 sebulan, ia mencetuskan kontroversi. Kerajaan Malaysia pula menegaskan, apa yang diumumkan
oleh Indonesia
minggu lalu itu bercanggah dengan memorandum persefahaman yang dimeterai tahun
lalu. Dalam temu bual dengan Sinar Harian Online di pejabarnya kelmarin, Menteri
Penasihat Kedutaan Indonesia ,
Suryana Sastradiredja mengupas isu ini kepada wartawan RUZY ADILA IDRIS.
Meskipun MoU sudah dimeterai dan pertemuan susulan Pasukan
Petugas Bersama, nampaknya masih wujud kekeliruan kadar tuntutan gaji pembantu
rumah dari Indonesia ?
Saya turut
ditanya soalan sama oleh media lain mengenai perkara itu. Nampaknya berlaku
kekurangan kolaborasi dan penyampaian maklumat daripada pegawai Malaysia kepada
kerajaan dan juga kepada Perdana Menteri kerana ahli Pasukan Petugas Bersama
bercakap kepada media selepas saya membuat kenyataan.
Dalam
kandungan perjanjian nampaknya menekankan satu pembantu rumah satu tugas. Boleh
jelaskan?
SURYANA: Sebetulnya
begitu. Pada awalnya, kadar gaji ditetapkan antara RM600 hingga RM800 (sebulan)
untuk satu pengkhususan kerja, tetapi daripada angka itu kita dapat RM700 dan
pembantu rumah Indonesia perlu melalui latihan 200 jam. Latihan merangkumi empat
jenis iaitu pembantu rumah, pengasuh, penjaga orang tua dan memasak di mana
majikan Malaysia hanya boleh pilih satu bidang tugas. Masalahnya, saya tidak
pasti di mana kekurangan maklumat dan mungkin Pasukan Petugas Bersama (di pihak)
Malaysia tidak memaklumkan kepada menteri atau perdana menteri.
Oleh sebab itu, saya redakan berita itu. Okeylah, anda boleh
minta pembantu rumah kerja lebih, boleh minta pembantu rumah buat dua atau tiga
kerja lain, tetapi harus sepakat dulu. Jika majikan perlukan pembantu rumah
membuat tugas tambahan, mereka perlu membuat perjanjian dan bersetuju bayaran
tambahan yang dipersetujui bersama (oleh majikan dan pembantu rumah). Misalnya,
jika pembantu rumah diambil untuk membuat kerja rumah dan majikan perlu
bantuannya untuk menjaga anak, ini kerja tambahan, jadi bagilah dia bayaran
tambahan. Jika majikan cakap pembantu rumah buat anak cedera, perjanjian
menyatakan pembantu rumah hanya membuat kerja rumah dan majikan perlu
bertanggungjawab sendiri, kalau terjadi apa-apa, majikan tidak boleh saman.
Jika begitu, berapa bayaran tambahan?
SURYANA: Bergantung perjanjian antara majikan dan pembantu
rumah. Patut satu bidang satu gaji, jadi buatlah perjanjian dengan pembantu
rumah berapa tambahannya.
Apakah perbezaan perjanjian dahulu dan sekarang?
SURYANA: Mungkin orang Malaysia tidak faham makna hak
asasi manusia. Sebetulnya saya jamin itu. Definisi pembantu rumah ialah pekerja
rumah. Perjanjiannya pun itu domestic helper, yang tugasnya memang di rumah
untuk membersihkan rumah, menyapu, bersihkan kaca dan sebagainya. Sementara
urusan anak atau orang tua itu ialah nyawa. Boleh anda bayangkan seorang
pembantu rumah perlu menjaga anak, perlu menjadi jururawat. Itu melibatkan
nyawa. Kalau sudah kerja melibatkan nyawa itu bukan kerja pembantu rumah. Bagaimana
kalau salah? Salah beri suntikan atau ubat untuk orang tua, nanti majikan akan
salahkan pembantu. Padahal dalam Konvensyen ILO jelas menyatakan tugas pembantu
rumah hanya kerja membantu. Itu harus difahami. Masalahnya selama ini, orang Malaysia selalu
berfikir ke belakang, selalu melihat ke belakang di mana pembantu itu sebagai
superwoman, supermaid yang perlu kerja sampai cuci kereta, mandikan dan beri
anjing makan. Itu bukan kerjanya.
Orang Malaysia
selalu berpendapat mereka bayar murah, tapi beri kerja banyak kepada pembantu
rumah. Kadang-kadang pembantu rumah dibawa ke rumah saudara-mara untuk buat
kerja atau di sebelah siang disuruh masak di restoran manakala di sebelah
malamnya disuruh tunggu kedai. Ini berlaku kerana tiada justifikasi mengenai
tugas patut dijalankan sedangkan mereka sepatutnya bekerja di rumah.
Gaji RM700 sebulan dilihat terlalu tinggi? (Tetapi
hakikatnya) bukan semua orang ada orang tua ada di rumah mereka.
SURYANA: Kita faham pembantu rumah itu apa. Dalam kontrak
ada disenaraikan tugas dan tanggungjawab majikan, tenaga kerja. Ini kontrak
perlu ditandatangani majikan, pembantu rumah dan agensi. Hanya boleh bekerja
untuk majikan dan dilarang mencari pekerjaan lain atau disuruh kerja di tempat
lain. Harus patuhi arahan daripada majikan dalam mengerjakan pekerjaan rumah
sehari-hari meliputi – memasak, mengemas rumah, membasuh pakaian dan menggosok
pakaian. Ini perjanjian kerja untuk ditandatangani. Ini sangat jelas. Sekarang,
saya juga punya dua pembantu rumah dan seorang pemandu. Di sini saya ada dua
pembantu rumah dan dua pemandu. Tetapi saya tak pernah minta pembantu rumah
cuci kereta, saya tak pernah minta mereka berkebun sebab itu bukan tugas dia. Satu
pembantu rumah untuk menguruskan rumah tangga manakala seorang lagi untuk
menguruskan anak-anak. Kenapa? Sebab saya mampu bayar. Sementara itu, saudara
saya, tiada pembantu rumah, tiada kereta, dia kata saya bukan awak, saya tidak
kaya, saya tidak ada wang, saya tidak ada kereta, jadi saya tidak boleh bayar. Jadi
kenapa saya harus paksa. Kalau saya tak mampu bayar, sudahlah.
Sama juga di Malaysia ,
kalau tidak mampu sudahlah, kenapa harus ribut? Saya sedih… kan saya sudah cakap, menteri pun kata nak
cari alternatif cari sumber dari negara lain, carilah, jangan bising-bising. Contohnya,
kalau kita mahu membeli barang di Pavilion tapi harganya (kadar) Chow Kit, mustahil.
Kalau sebagai perbandingan maaf cakap, kalau mereka ada kemahiran 200 jam, saya
berani sumpah mereka tidak datang ke sini. Mereka pilih Hong Kong , Korea ,
gaji lebih tinggi.
Apa jaminan kerajaan Indonesia
majikan Malaysia
berbaloi membayar RM700?
SURYANA: Inikan ada dalam perjanjian, pekerja diberi latihan
200 jam mampu bekerja dan boleh dikategorikan pekerja gred A atau B. Kita juga
harus dapat jaminan daripada kerajaan Malaysia supaya mereka dibayar
sesuai. Kita kirim orang ada kemahiran dan ada sijil. Kita minta jaminan mereka
diberi tugas sesuai bidang kemahiran mereka. Di Indonesia, ada lapan agensi pekerjaan menguruskan kemasukan pekerja
manakala di Malaysia ada lima agensi. Agensi ini bekerjasama, mereka beri
latihan dan agensi Malaysia uruskan penempatan.
Kita juga minta
agensi dan kerajaan Malaysia beri biodata majikan seperti yang kerajaan
Indonesia kirimkan biodata calon pembantu rumah kepada calon majikan di
Malaysia. Biodata itu merangkumi latar belakang majikan, gaji majikan sekurang-kurangnya
RM5,000 untuk satu isi rumah (dulu hanya RM3,000) dan termasuk status kesihatan
majikan. Kita tidak mahu majikan yang mempunyai sakit mental menggaji pekerja
kita. Sebenarnya begini, matlamat kita bekerja dengan Malaysia untuk membina
hubungan baik. Kita saling membantu. Kerajaan Malaysia harus memastikan mereka
tidak layak, jangan ambil pembantu rumah dan kerajaan Indonesia pula tidak
bekalkan pekerja yang tidak mempunyai kemahiran yang akan menimbulkan masalah.
Apakah perbezaan kandungan perjanjian dahulu dan
sekarang?
SURYANA: Dahulu, kadar gaji tidak ditetapkan, tetapi
sekarang gaji ditetapkan RM700 . Tetapi RM600 boleh ditetapkan bagi negeri seperti
Terengganu, Kelantan, Sabah di mana kos hidup
lebih rendah. Selain itu, pasport boleh dipegang pembantu rumah, hak satu hari
kelepasan am yang tidak ditetapkan harinya dan majikan perlu buka akaun bank
untuk bayar gaji. Jika berlaku kes tidak bayar gaji, ada bukti.
No comments:
Post a Comment